
Kakitangan Petronas terima mesej ugutan bakar fasiliti LNG
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, seorang kakitangan Petronas menerima mesej ugutan yang mengancam untuk membakar kemudahan gas asli cecair (LNG) di negara ini.
Menurut beliau, mesej itu dihantar melalui nombor telefon berdaftar dari Indonesia dengan menyertakan tuntutan tertentu dan ugutan akan dilaksanakan sekiranya tiada tindak balas diberikan.
“Identiti penghantar masih dalam siasatan polis. Yang penting, kita tidak memandang ringan perkara ini dan langkah berjaga-jaga telah pun diambil,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Pelan Tindakan Nasional Malaysia Mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan di ibu negara, hari ini.
Fadillah menegaskan berikutan insiden itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera mengarahkan semua fasiliti LNG meningkatkan tahap kawalan keselamatan bagi memastikan kepentingan negara tidak terjejas.
Terdahulu, MKN dalam kenyataannya turut menegaskan pihaknya memandang serius ancaman tersebut dan telah menggerakkan langkah berjaga-jaga, termasuk menasihatkan semua fasiliti LNG di seluruh negara supaya meningkatkan keselamatan sementara siasatan lanjut dijalankan.
Dalam pada itu, orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat spekulasi berhubung isu berkenaan, sebaliknya menunggu perkembangan rasmi daripada pihak berkuasa.


