
Anwar rayu Trump hentikan perperangan di Gaza
DATUK Seri Anwar Ibrahim mengemukakan rayuan kepada pemimpin dunia khususnya Presiden Amerika Syarikat Donald Trump supaya bertindak menghentikan kezaliman di Gaza.
Perdana Menteri berkata, serangan Israel ke atas Gaza yang meragut nyawa manusia termasuk keluarga, kanak-kanak malah ada bayi yang terbunuh merupakan ujian kemanusiaan seluruh masyarakat dunia.
Tegasnya, pengabaian terhadap isu ini merupakan satu pelanggaran kepada soal moral.
“Malaysia menyeru semua pemimpin dunia untuk bertindak segera kerana kerajaan yang ada percaya kepada undang-undang antarabangsa dan setiap negara yang mendakwa menghargai nyawa manusia, mesti bersuara menyatakan bantahan.
“Dalam hal ini, saya menggesa semua yang mempunyai pengaruh ke atas Israel untuk mencari keberanian untuk bertindak tegas.
“Saya merayu terutamanya kepada Presiden AS Donald Trump untuk menggunakan pengaruh itu bagi mendesak agar pembunuhan segera dihentikan,” rayunya dalam hantaran di Facebook.
Anwar menegaskan, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan semua negara, Utara dan Selatan, Timur dan Barat, untuk membawa kelegaan ke Gaza, dan memulihkan prinsip asas kemanusiaan.