Malaysian News

UMNO lantik Johari ketuai pasukan khas kaji RUU PSB

DATUK Seri Johari Abdul Ghani dilantik mengetuai pasukan khas UMNO bagi penambahbaikan terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 (RUU PSB).

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Johari yang merupakan Naib Presiden parti itu bertanggungjawab  mengetuai pasukan khas itu bagi meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU berkenaan secara terperinci sebelum membentangkannya dalam Konvensyen Melayu Bandar pada hujung bulan ini.

“Konvensyen ini melibatkan kepimpinan tertinggi Umno di peringkat negeri dan bahagian seluruh negara, parti politik Melayu, NGO, ahli akademik, serta anggota masyarakat sivil.

“Resolusi di Konvensyen Melayu Bandar ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya kenyataan, hari ini.

Pada 29 Ogos lalu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, keperluan memperluas sesi libat urus dengan kerajaan negeri, penduduk tempatan, serta pakar perancangan bandar sebelum RUU itu dibentangkan semula.

Perbahasan mengenai RUU itu ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat akan datang pada Oktober, susulan bantahan daripada Ahli Parlimen pembangkang dan juga kerajaan, khususnya berhubung ambang persetujuan bagi projek pembangunan semula.

RUU PSB yang dibentangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk bacaan kali pertama pada 21 Ogos lalu, bertujuan menggantikan undang-undang dan peraturan lapuk berkaitan pembangunan semula kawasan bandar usang.

Back to top button