Madani News

Isu Jalur Gemilang: Jangan kita pula jadi polis, hakim- Fahmi

JANGAN bertindak di luar batasan, itu nasihat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kepada orang ramai berhubung isu kesalahan berkaitan Jalur Gemilang.

Orang ramai diingatkan supaya tidak bertindak di luar batas undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berkaitan Jalur Gemilang.

Sebaliknya kata Fahmi masyarakat perlu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak Dan menjalankan siasatan.

“Jangan kita bertindak menjadi polis, peguam dan hakim (kerana) itu salah, jadi serah kepada pihak polis untuk siasat, serah kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa dan serah kepada mahkamah untuk buat keputusan,” katanya.

Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPG), Lembah Pantai, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Julina Johan; dan Pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu Kuala Lumpur, Dr. Masitah Mohammad Yusof

Fahmi turut mengajak rakyat Malaysia memainkan peranan dalam membetulkan semula sebarang kesilapan berkaitan Jalur Gemilang tanpa sebarang tindakan provokasi.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita juga boleh mainkan peranan. Sekiranya kita melihat Jalur Gemilang jatuh, kita angkatkan balik.

“Sekiranya pudar, kita gantikan dengan yang baru. Sekiranya ia dipasang dengan cara yang tidak betul, kita betulkan dengan tangan kita sendiri,” katanya

Back to top button