
Kerajaan Madani konsisten berjaya menurunkan kadar defisit setiap tahun
KERAJAAN Madani berjaya menurunkan kadar defisit secara konsisten setiap tahun dalam tempoh hampir tiga tahun pentadbirannya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bermula pada tahun 2022 dengan kadar 5.5 peratus menurun kepada 5.0 peratus (2023); seterusnya 4.1 peratus (2024); dan sasaran 3.8 peratus (2025).
Pengurangan kadar defisit juga akta Anwar bermakna kerajaan ini berjaya turunkan komitmen hutang baru iaitu daripada sekitar RM99 bilion (2022); kepada RM92.6 bilion (2023); seterusnya RM76.8 bilion ringgit (2024).
“Pencapaian bermakna ini membolehkan kita berada di landasan kukuh ke arah mencapai sasaran defisit fiskal 3 peratus dengan mengurangkan hutang baharu setiap tahun,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurut Anwar, ketika mengambil alih pentadbiran, kerajaan Madani mewarisi suatu jumlah hutang yang menggunung melebihi RM1 trilion.
“Faktanya, selagi mana belanjawan negara terus dalam defisit, selagi itu jumlah hutang akan terus meningkat.
“Apa pilihan yang kerajaan ada? Kita terpaksa akur─bertindak dengan berani dan berhati-hati, menangani keterlanjuran lalu tanpa menjejaskan maslahat majoriti rakyat. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak selerak,” katanya.