
Rakyat Malaysia perlu berhenti berbalah isu bahasa
DATUK Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia menghentikan pertelingkahan berpanjangan antara kaum berhubung isu bahasa, sebaliknya kembali memberi tumpuan kepada usaha membina masa depan anak-anak negara lebih berdaya saing.
Perdana Menteri menegaskan, pendekatan pendidikan pelbagai bahasa dilaksanakan kerajaan tidak bertujuan menafikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, sebaliknya bertujuan memperkukuh perpaduan nasional.
Ia juga, katanya, bertujuan menyediakan peluang saksama kepada semua murid untuk menguasai pelbagai bahasa.
Anwar menjelaskan, keupayaan menguasai lebih daripada satu bahasa adalah aset penting dalam menghadapi cabaran global dan meningkatkan daya saing generasi muda, tanpa menjejaskan asas identiti nasional negara.
“Kita tidak mahu lagi pertelingkahan antara kaum yang tidak berkesudahan dalam soal bahasa. Keutamaan kita adalah meningkatkan mutu kehidupan dan menjamin masa depan anak-anak kita.
“Mereka perlu bersedia bersaing untuk bekerja bukan sahaja dalam negara, malah di rantau Asia dan di peringkat dunia.
“Sebab itu bahasa, sains, matematik, digital dan kecerdasan buatan (AI) mesti dikuasai sejak peringkat awal persekolahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Tionghua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting di Bentong, hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Anwar berkata, usaha meningkatkan kualiti pendidikan perlu dilihat sebagai agenda nasional melangkaui perbezaan kaum, dengan semua pihak menumpukan perhatian kepada pembaikan sekolah, latihan guru serta penyediaan kemudahan mencukupi.
Beliau berkata, sebarang perbezaan pandangan berkaitan pendidikan boleh dibincangkan secara matang, namun fokus utama tidak harus terpesong daripada matlamat menjadikan pendidikan sebagai alat penyatuan dan pemacu kemajuan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar mengumumkan kelulusan peruntukan RM13.5 juta bagi pelaksanaan projek penambahbaikan dan kemudahan tambahan di SJKC Perting, dengan RM300,000 diluluskan segera bagi membolehkan kerja awal dimulakan.
Katanya, peruntukan ini diberikan sebagai sebahagian daripada persediaan untuk kemasukan pra sekolah berumur 5 tahun dan darjah 1 berumur 6 tahun (sukarela) bermula tahun depan.
“Saya berharap semua pihak, pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat setempat terus memberi sokongan agar sekolah ini menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain,” katanya.


