Madani News

Keputusan tepat, BN Sabah akan pantau proses rundingan hak 40 peratus

BARISAN Nasional (BN) Sabah menyifatkan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebagai pengiktirafan terhadap prinsip undang-undang bahawa hak 40 peratus hasil Sabah adalah hak perlembagaan yang tidak boleh dirunding atau dilengahkan.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keputusan untuk memulakan rundingan serta-merta antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mengesahkan bahawa hak tersebut bukan ihsan politik, sebaliknya kewajipan perlembagaan yang telah lama gagal dipenuhi.

“Peruntukan 40 peratus ini merupakan komitmen perlembagaan yang mengikat, termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

“Kelemahan dan penyelewengan proses pentadbiran yang berlaku sejak 1974 bukan sekadar kecacatan teknikal, tetapi mencemar prinsip federalisme yang menjadi asas hubungan antara Sabah dan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Bung Moktar berkata, dalam mana-mana bidang kuasa undang-undang moden, hak perlembagaan tidak boleh ditangguhkan, dikurangkan atau diabaikan tanpa alasan yang kukuh dan berkadar.

Tegasnya, rundingan yang akan berlangsung selepas ini mesti dilaksanakan dengan telus, berlandaskan data kewangan sebenar dan bebas daripada sebarang manipulasi politik.

“Sabah tidak lagi boleh menerima rundingan tanpa hasil.

“Hak perlembagaan bukan bahan tawar-menawar ia mesti dipenuhi tepat seperti yang diperuntukkan,” katanya.

Pada masa sama, Bung Moktar berkata, BN Sabah akan memantau setiap peringkat proses rundingan bagi memastikan hak Sabah dikembalikan tanpa sebarang kelewatan.

“Tanggungjawab Kerajaan Persekutuan adalah jelas dan tidak boleh dialihkan kembalikan hak Sabah tanpa berlengah.

“Ini bukan gimik politik, ini tuntutan keadilan perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, BN Sabah kekal berpendirian tegas bahawa 40 peratus hasil negeri merupakan hak mutlak Sabah sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Back to top button