
Sekolah bukan pentas arak, sokong ketegasan Kerajaan MADANI
Oleh: Datuk Dr. Alexander Noor
ISU penghidangan arak di sekolah kembali mencetuskan perdebatan masyarakat. Walaupun ia berlaku dalam konteks penyewaan dewan kepada pihak luar, hakikatnya sekolah ialah institusi pendidikan yang membentuk sahsiah dan akhlak anak bangsa. Oleh itu, tindakan tegas Kerajaan Madani mengekalkan larangan penghidangan arak di sekolah wajar dipuji dan disokong sepenuhnya.
Sekolah ialah tempat anak-anak belajar, membina karakter, serta mengasah nilai moral dan budi pekerti. Jika sekolah dijadikan lokasi penganjuran acara yang melibatkan arak, imejnya akan tercemar. Lebih parah, ia memberi mesej salah kepada generasi muda bahawa minuman keras sesuatu yang normal dan boleh diraikan.
Kerajaan dengan jelas menegaskan bahawa sekolah mesti bebas daripada sebarang unsur yang bercanggah dengan falsafah pendidikan negara, termasuklah arak dan perjudian. Nilai ini seiring dengan semangat Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) yang menuntut perlindungan daripada pengaruh negatif terhadap murid.
Larangan berkaitan arak di sekolah bukan perkara baharu, malah sudah termaktub dalam dokumen rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Antaranya:
“Panduan Penyaluran & Penerimaan Sumbangan daripada Sektor Swasta & Bukan Swasta kepada Sekolah Kerajaan dan SBK.”
“…Sumbangan yang diterima daripada sumber yang tidak sesuai seperti judi, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya adalah dilarang sama sekali. Logo, nama atau sebarang bentuk promosi syarikat berkenaan juga *tidak boleh dipamerkan di sekolah.”
“Sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya adalah dilarang sama sekali. Pentadbir sekolah hendaklah memastikan tiada sebarang bentuk promosi atau penajaan daripada sumber berkenaan di premis sekolah.”
“Pentadbir sekolah diingatkan supaya memastikan pematuhan terhadap SPI Bil. 3/2018, termasuk larangan penerimaan sumbangan atau penajaan berkait dengan minuman keras, serta larangan promosi atau paparan jenama syarikat arak di kawasan sekolah.”
Isu ini diperkuatkan dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Oktober 2025. Perdana Menteri menegaskan:
“Sekolah bukan pentas hiburan. Ia mesti bebas daripada sebarang unsur arak dan perjudian. Walaupun dewan sekolah disewa pihak luar, ia tetap bercanggah dengan falsafah pendidikan negara sekiranya digunakan untuk tujuan sedemikian.”
“Garis panduan dan amalan sedia ada kekal terpakai. Tiada perubahan. Antara intipati utama ialah aktiviti sumbangan dana tidak boleh memaparkan atau mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.”
Ada pihak berhujah bahawa larangan ini mengekang hak kebebasan kumpulan bukan Islam. Hakikatnya, larangan ini bukan menafikan hak tersebut, sebaliknya menjaga sensitiviti bersama dalam ruang pendidikan yang menjadi milik awam dan dikongsi oleh semua kaum serta agama.
Masyarakat majmuk Malaysia dibina atas prinsip saling menghormati. Justeru, menjaga sekolah sebagai zon bebas arak bukan sahaja melindungi murid Islam, malah memelihara keharmonian seluruh komuniti sekolah.
Tindakan tegas Kerajaan Madani mengekalkan larangan arak di sekolah adalah langkah tepat yang mesti terus diperjuangkan. Sekolah tidak boleh sama sekali dikompromi dengan kepentingan hiburan atau keuntungan.
Anak-anak adalah warisan masa depan negara. Mereka perlu dibesarkan dalam persekitaran pendidikan yang sihat, bermaruah, dan berlandaskan nilai murni. Justeru, kita menyokong penuh pendirian kerajaan – sekolah bukan pentas arak, tetapi medan membina insan yang berilmu, berakhlak dan berintegriti.


