
Malaysia mahu ASEAN manfaat kekuatan bersama Korea Selatan pacu pertumbuhan serantau – PM
MEMBENTUK ekosistem serantau yang stabil, inklusif dan berdaya tahan, sekali gus membuka peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat di rantau ini antara yang ditekankan Malaysia untuk memanfaatkan kekuatan ASEAN bersama Korea Selatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan bersama yang dimiliki ASEAN dan Korea Selatan perlu digembleng bagi membentuk pasaran terbuka, memperkukuh rantaian bekalan dan memupuk pembangunan modal insan yang bersedia untuk menghadapi masa hadapan.
Dalam ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN–Korea Selatan, Perdana Menteri menegaskan, hubungan Dialog ASEAN–Republik Korea yang sudah terjalin lebih tiga dekad menjadi model kepada kepercayaan, saling menghormati dan manfaat bersama.
Kini, jelasnya, hubungan itu telah berkembang menjadi Perkongsian Strategik Komprehensif yang mencerminkan keyakinan kedua-dua pihak serta nilai jangka panjang terhadap kerjasama yang telah lama terjalin.
“Mesyuarat kali ini berlangsung ketika dunia berdepan gangguan teknologi, persaingan strategik, rantaian bekalan yang terpecah serta tekanan terhadap sistem perdagangan pelbagai hala.
Dalam suasana mencabar ini, ASEAN dan Republik Korea menonjol sebagai negara yang percaya bahawa kemajuan hanya dapat dicapai melalui kerjasama,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengucapkan tahniah kepada Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, atas pelantikannya pada Jun lalu.
Anwar berkata, pada tahun 2024, jumlah dagangan antara ASEAN dan Republik Korea melebihi AS$200 bilion, menggambarkan kekuatan serta daya tahan hubungan perdagangan antara kedua-dua pihak.
Selain angka tersebut, katanya, ASEAN turut menawarkan pelbagai peluang dalam sektor yang luas, didorong oleh tenaga dinamik dan kepelbagaian lebih 600 juta penduduknya.
“Republik Korea pula membawa inovasi, teknologi dan semangat kreatif yang terus memberi inspirasi kepada dunia,” katanya.


