
Krisis politik Perlis semakin panas, PAS pecat tiga Adun
SUSULAN kemelut politik Perlis, PAS mengambil ketetapan “memecat” tiga Adunnya di negeri itu dalam satu mesyuarat yang berlangsung malam tadi.
Tiga Adun berkenaan ialah, Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Pemecatan tiga Adun berkenaan dimaklumkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.
“Adalah dimaklumkan bahawa, Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada hari ini, Rabu 24 Disember 2025, telah membuat ketetapan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025), bahawa ahli-ahli badan perundangan PAS yang berikut adalah terhenti serta merta keahliannya sebagai ahli PAS.
“PAS akan memaklumkan ketetapan ini secara rasmi kepada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis bagi tujuan memenuhi Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 serta-merta,” katanya dalam kenyataan itu.
Bagaimanapun Abdul Hadi tidak memaklumkan alasan pemecatan berkenaan.
Terdahulu media melaporkan Bersatu Perlis mengemukakan tiga nama Adunnya untuk dicalonkan sebagai menteri besar.
Perlis berdepan krisis selepas lapan Adunnya termasuk daripada PAS didakwa mengemukan akuan bersumpah hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.


