Madani News

BN sudah jangka musuh putar belit lebuhraya Pan Borneo lewat siap

KEMPEN parti lawan kononnya Barisan
Nasional (BN) bertanggungjawab menyebabkan projek lebuhraya Pan Borneo lambat siap daripada tempoh yang dirancang adalah tidak berasas.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan, kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo tidak sepatutnya diletakkan di bahu BN, sebaliknya pihak yang pernah menjadi menteri ketika projek itu diteruskan perlu tampil menjelaskan punca kelewatan tersebut.

“Kalau mereka kata projek ini lambat, mereka sepatutnya tanya kepada pemimpin-pemimpin di sebelah sana, yang dahulu menjadi menteri. Tanya mereka sendiri, apa tindakan mereka sehingga menyebabkan kelewatan kepada projek ini?

“Kenapa mahu tuduh BN sedangkan mereka tahu itu projek BN dari awal?” katanya ketika ditemui membantu jentera BN berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Papar, semalam.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pihak yang sebenarnya melengahkan projek tersebut adalah mereka yang mengambil alih pentadbiran selepas itu tetapi gagal memastikan kesinambungan dan kelancaran pembangunan Pan Borneo sebagaimana dirancang.

“Siapa yang melambatkan sebenarnya? Rakyat berhak tahu bahawa bukan BN yang menyebabkan kelewatan… kerana merekalah yang sebenarnya melambatkan,” katanya.

Zambry menambah, pihak lawan memang dijangka akan memainkan isu Pan Borneo setiap kali musim pilihan raya sekali gus menunjukkan mereka terdesak meraih sokongan dengan memutarbelit fakta.

“Mereka akan mainkan semua ini, tetapi hakikatnya rakyat tahu bahawa Pan Borneo adalah projek daripada Barisan Nasional. Pemimpin BN ketika itu, Datuk Seri Najib Razak ‘Bossku’, yang memulakan ‘design’ besar untuk manfaat rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Justeru, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menyeru pengundi di Sabah untuk menilai fakta sebenar dan tidak terpengaruh dengan permainan politik pihak lawan yang cuba menutup kelemahan sendiri dengan menyalahkan BN.

Back to top button