Madani News

PM akan cadang projek ternakan babi di Selangor dibatalkan

DATUK Seri Anwar Ibrahim akan mencadangkan kepada Kerajaan Selangor agar projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar dibatalkan terlebih dahulu.

Perdana Menteri berkata, Kabinet dalam mesyuarat hari ini, berpandangan isu berkenaan membabitkan faktor persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum di sekitar kawasan baharu itu harus diberi perhatian.

“Saya akan bincang dengan Menteri Besar (Amirudin) supaya bagi pandangan, kalau boleh batalkan dulu projek itu dan pertimbangkan kalau boleh kawasan yang lebih baik dengan syarat teknologi itu terjamin.

“Kalau pun teknologi baik tapi di kawasan yang menimbulkan keresahan itu tentunya tidak wajar diteruskan,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Amin, Bandar Baru Bangi, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri, berkata, kawasan penternakan seperti babi dan ayam kadangkala mendatangkan masalah pencemaran yang sangat berat, seperti yang berlaku di Morib ketika ini.

Justeru, katanya, ia tidak boleh dipandang ringan dan menganggap perkara itu boleh diselesaikan dengan mudah.

“Pilihan kita kadang-kadang bangunkan di tempat yang sama, yang ada ternakan dengan syarat yang ketat mengenai teknologi baharu.

“Jadi, itu pandangan yang diberikan oleh rakan-rakan dan saya akan bincang semula dengan Menteri Besar, mengambil kira keresahan dan nasihat serta titah Tuanku Sultan Selangor.

“Tentunya ini bidang kuasa kerajaan Selangor tapi saya fikir ia menimbulkan sedikit keresahan,” katanya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 12 Januari lalu, dilaporkan murka dengan perancangan kerajaan Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi berskala besar di Tanjung Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Menerusi titah kenyataan, baginda tidak bersetuju khususnya apabila ada kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

Baginda juga menzahirkan kebimbangan kerana kawasan Kuala Langat didiami ramai penduduk Melayu dan sehingga ke hari ini, masalah berkaitan penternakan babi di kawasan itu masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.

Back to top button