
Anwar harap fitnah terpadam dengan pelantikan Hakim kanan
DATUK Seri Anwar Ibrahim berharap tohmahan fitnah dalam isu pelantikan jawatan kehakiman negara terpadam susulan perkara itu telah dinoktahkan awal malam tadi.
Perdana Menteri menjelaskan, pelantikan berkenaan dibuat melalui proses telus, yang bermula dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong dan kemudiannya dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.
Tegasnya, dakwaan beliau mencampuri urusan pelantikan kehakiman terbukti meleset, selepas berminggu-minggu beliau dikecam dan difitnah.
“Saya harap dengan penjelasan ini dan keputusan dibuat Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Agong maka padamlah fitnah dan keluh kesah yang berlaku sebelum ini,” katanya kepada pemberita, selepas solat Jumaat di surau Presint 14 di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar atas nasihat Anwar dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara, Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
Mengulas perkembangan lain, Anwar mengumumkan beliau sedia berbincang dengan pimpinan Umno berhubung Titah Adendum membabitkan bekas presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau turut mengambil maklum ramai Ketua UMNO Bahagian membangkitkan isu tersebut baru-baru ini.
“Saya sedia mengadakan perbincangan dengan mereka, memberi penjelasan sekiranya perlu atau melakukan apa yang baik untuk menjaga keharmonian,” katanya.


