
MB Perlis umum letak jawatan atas faktor kesihatan
MENTERI Besar Perlis Mohd Shukri Ramli mengumum meletakkan jawatan secara sukarela atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan sekali gus menamatkan tempoh pentadbiran beliau di negeri itu.
Beliau memaklumkan sudah mengadap Raja Perlis pada hari ini dan mempersembahkan surat peletakan jawatan pada tengah hari, selain menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada kebijaksanaan Raja Perlis.
โPertamanya, saya ingin maklumkan bahawa saya telah diperkenan untuk mengadap Tuanku Raja Perlis pada hari ini, dan telah menyatakan hasrat saya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela, atas faktor kesihatan saya yang tidak mengizinkan.
“Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan kemampuan diri untuk terus menggalas amanah pentadbiran negeri secara berkesan,” katanya ketika sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Perlis di Kangar, hari ini.
Beliau turut menyatakan penghormatan penuh terhadap pertimbangan Tuanku Raja Perlis berhubung permohonan peletakan jawatan tersebut.
Mohd Shukri turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis dan penjawat awam atas kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
โSaya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, seluruh warga penjawat awam dan khususnya rakyat Perlis yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang pentadbiran saya.
“Saya turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan serta ahli parti yang memberi kepercayaan untuk menjalankan amanah sebagai Menteri Besar,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Shukri memohon ampun dan maaf kepada semua pihak atas sebarang kekhilafan dan kekurangan sepanjang tempoh beliau menerajui kerajaan negeri.
Beliau juga menjunjung kasih kepada Tuanku Raja Perlis, Tuanku Raja Perempuan, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda kerana memberi peluang mentadbir Kerajaan Negeri Perlis sepanjang tiga tahun lalu.


