
Kerajaan setuju petugas kesihatan dikecualikan waktu kerja syif
KERAJAAN bersetuju memberi pengecualian waktu bekerja syif bagi lima skim perkhidmatan kritikal di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan menetapkan waktu bekerja kepada 42 jam seminggu.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi satu kenyataan berkata, pengecualian itu membabitkan 82,637 petugas kesihatan merangkumi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di jabatan kecemasan, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan.
“Kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap kebimbangan disuarakan petugas kesihatan berhubung pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu mengikut Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA),” menurut kenyataan itu.
Keputusan itu dilakukan selepas kerajaan meneliti secara mendalam keperluan operasi dan hakikat tugas kritikal dijalankan petugas kesihatan yang terlibat secara langsung dalam menyelamatkan nyawa pesakit – dari katil ke katil – tanpa mengira masa.
“Kerajaan melihat tanggungjawab sedemikian menuntut kesiapsiagaan fizikal, mental dan emosi yang luar biasa.
“Langkah ini adalah komitmen kerajaan MADANI untuk terus mendengar dan mengambil tindakan terhadap suara serta kebajikan petugas kesihatan yang menjadi tunjang sistem kesihatan negara,” katanya.