Madani News

Pengumuman PM menunjukkan ekonomi negara makin kukuh

EKONOMI negara semakin bertambah kukuh  berikutan kemampuan Kerajaan MADANI mengumumkan beberapa ‘hadiah’ khas untuk meringankan kos sara hidup rakyat, hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif berteraskan rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yang sememangnya bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.

“Ia menunjukkan bahawa Perdana Menteri benar-benar mengambil berat terhadap kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata bantuan ‘one-off’ RM100 kepada semua warganegara 18 tahun ke atas merupakan berita baik kepada rakyat.

Jelasnya, bantuan tersebut bagi membeli barangan asas di 4,100 premis perniagaan serta diperluaskan ke jualan Rahmah MADANI di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

Selain itu, beliau turut menyambut baik penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter melalui inisiatif subsidi bersasar, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia, sebagai satu langkah yang menepati aspirasi rakyat.

“Pengisytiharan hari sebelum Hari Malaysia (15 September) sebagai cuti umum merupakan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap kepentingan hari istimewa ini untuk seluruh negara,” katanya.

Back to top button