
Peruntukan RM200 juta serta merta tangani hakisan pantai di Terengganu
KERAJAAN Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi mempercepat pelaksanaan kerja-kerja menangani masalah hakisan pantai di Terengganu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan tersebut diberikan secara serta-merta selepas isu berkenaan dibangkitkan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam pertemuan bersama beliau.
Jelasnya, ucapan tahniah harus diberikan kepada jabatan yang terlibat, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah mengambil tindakan pantas dalam usaha menyelamatkan kawasan pantai yang terjejas akibat hakisan.
Anwar turut menegaskan, Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam menyokong pembangunan negeri, termasuk Terengganu dan menolak tohmahan yang mendakwa sebaliknya.
“Jadi saya ambil kesempatan ini untuk menjelaskan kerana kadang-kadang apa yang kita lakukan ini berbeza dengan apa yang disinggung di luar.
“Jadi…perbezaan (pendapat) itu dibolehkan, tetapi fitnah dan sikap yang negatif itu tidak dibenarkan, kerana ia bercanggah dengan apa yang berlaku.
“Jangan terpengaruh dengan dakwaan kerajaan Persekutuan tidak bantu Terengganu dalam aspek pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau di Terengganu, di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud, Kenyir, di Kuala Terengganu, hari ini.
Peruntukan segera yang diluluskan itu dijangka dapat mempercepat pelaksanaan projek-projek mitigasi hakisan pantai yang telah dikenal pasti, sekali gus memberikan perlindungan kepada kawasan pesisir serta memelihara kesejahteraan rakyat setempat.
Turut hadir, Ahmad Samsuri; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid; Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.