Madani News

Sah! UMNO kekal bersama PH hadapi PRU16

UMNO mengesahkan yang parti itu tidak akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Sebaliknya, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu akan terus bersama BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi pilihan raya umum berkenaan.

UMNO akan kekal menggunakan lambang dacing pada PRU16, tanpa mengenepikan rakan-rakan komponen lain termasuk MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Hakikatnya, UMNO tidak pernah bertanding secara bersendirian sejak ditubuhkan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut 2025, di Seri Manjung, hari ini.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir pada majlis itu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menafikan kekalahan UMNO dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini berpunca daripada kerjasama parti itu dengan PH.

Jelasnya, desakan supaya UMNO bertanding solo dalam PRU16 bukan perkara baharu dan pernah disuarakan beberapa Bahagian parti itu.

“Ia turut disuarakan semalam ketika saya berada di Johor, sama seperti dilaungkan di Kedah.

“Terdapat resolusi daripada beberapa Bahagian yang seolah-olah menyalahkan kehadiran rakan-rakan gabungan dalam BN dan PH sebagai punca kekalahan kita,” katanya.

Back to top button