Madani News

Malaysia tidak boleh dibina atas kebencian – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara tidak boleh dibangunkan berasaskan politik kebencian, perpecahan kaum dan agama serta budaya buli yang kian menular dalam masyarakat.

Perdana Menteri berkata, cabaran semasa bukan sahaja dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi global, malah turut diburukkan oleh tindakan pihak tertentu yang cuba mengapi-apikan ketegangan demi kepentingan sempit.

“Mutakhir ini, kita menyaksikan unsur negatif, budaya buli dari sekolah hingga ke tempat kerja, malah politik rendah nilai yang tanpa segan silu memperdagangkan nyawa dan tragedi orang lain demi meraih laba murahan.

“Ini yang saya sebut sebagai membina istana di atas pusara,” katanya dalam hantaran Facebook yang memetik ucapan beliau pada Majlis Perhimpunan Perkhidmatan Awam (MAPPA) XX di Putrajaya, semalam.

Anwar menegaskan pertumbuhan ekonomi yang dicapai negara tidak bermakna tanpa asas akhlak, adab dan perikemanusiaan.

Justeru, mana-mana pihak yang mengugut, menghasut atau menabur kebencian akan berdepan tindakan tegas demi menjamin keamanan rakyat tanpa mengira kaum dan warna kulit.

“Demokrasi menjamin kebebasan bersuara, tetapi ia bukan lesen untuk memecah-belah atau merendah maruah orang lain. Kedudukan majoriti bukan untuk menindas dan minoriti tidak boleh mengeksploit isu bagi mencabar keharmonian negara,” katanya.

Perdana Menteri turut menekankan kepentingan perkhidmatan awam yang cekap dan berintegriti sebagai tunjang perpaduan negara.

Jelasnya, tambahan skim saraan tertinggi sejak Merdeka yang diumumkan kerajaan jelas membuktikan penghargaan kepada penjawat awam, selain pelbagai insentif baharu bagi meningkatkan kemahiran dan kesejahteraan mereka.

“Saya percaya penghargaan ini akan dibalas dengan khidmat yang lebih padu, cemerlang dan berintegriti demi membawa Malaysia ke mercu ketinggian,” katanya.

Anwar menambah, kejayaan Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk pengiktirafan dalam usaha damai, adalah hasil kerjasama erat antara kepimpinan negara dengan perkhidmatan awam yang berwibawa.

“Negara ini milik semua dan masa depannya terpikul di bahu kita bersama. Mari pertahankan keamanan, lonjakkan ekonomi dan perkukuh nilai bangsa,” katanya.

Back to top button