
Kerajaan komited perangi kartel dan penyeludupan
KERAJAAN MADANI akan terus komited memerangi kartel dan kegiatan penyeludupan secara menyeluruh demi menyelamatkan bangsa serta kedaulatan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu kartel dan penyeludupan bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berlarutan sejak puluhan tahun, namun tidak dibendung akibat ketiadaan keberanian serta tekad politik yang kukuh.
Tegasnya, segala kaedah luar biasa akan digunakan bagi memerangi kartel yang berakar umbi sejak sekian lama.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesungguhan mereka mendukung usaha kerajaan itu.
“(Tekad ini memberikan) risiko besar kepada SPRM, LHDN dan PDRM. Semua risiko besar kerana mereka (kartel) sudah begitu kuat, tetapi kita sentiasa bertawakal kepada Allah SWT.
“Langkah kita ambil itu langkah luar biasa … bayangkan berpuluh-puluh tahun terbiar dan puluhan bilion ringgit hilang … ukurannya (tekad ini) ialah usaha untuk menyelamatkan bangsa dan negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pengajian Islam Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di Bangi, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.
Anwar turut menyelar tindakan segelintir individu yang berdiam diri terhadap kejayaan agensi penguat kuasa menumpaskan kartel dan penyeludupan di negara ini.
“Kalau dengar perbicaraan (perbahasan) di Parlimen tidak ada yang bersuara … boleh kata beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan (menyokong usaha banteras kartel), tetapi sebelah sana (pembangkang) langsung tiada.
“Saya berterima kasih kepada SPRM dan polis yang menjalankan tugas selamatkan negara kita. Penyeludupan saya (pernah) sebut di Parlimen, (antaranya) kontena keluar masuk di pelabuhan puluhan tahun dengan seludup barang masuk dan barang keluar,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan, komitmen kerajaan untuk terus membersihkan negara daripada rasuah, penyelewengan dan kegiatan kartel, susulan kejayaan tindakan penguatkuasaan tegas yang berjaya mengembalikan hasil negara mencecah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.
Sementara itu, Perdana Menteri menggesa pelajar di Fakulti Pengajian Islam agar memanfaatkan kemajuan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasakan syiar Islam dan memperluas pengaruh ilmu.
“Sebaiknya mereka (pelajar) harus ada juga satu bidang khusus, (sekarang) kita ada pelbagai disiplin termasuk soal teknologi komputer AI,” katanya. yang juga Menteri Kewangan.
Konvensyen Pengajian Islam IPT Antarabangsa 2025 merupakan perhimpunan ilmuwan dan pemimpin akademik negara bagi menzahirkan keutuhan ilmu, hikmah serta perpaduan dalam memperkasakan pengajian Islam di Malaysia.

