
Malaysia gesa negara Islam putuskan hubungan dengan Israel
MALAYSIA menggesa negara Islam dan dunia supaya menamatkan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai langkah menghentikan kekejaman ke atas Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kecaman semata-mata ke atas kezaliman Israel tidak memadai.
“Kecaman semata-mata tidak lagi memadai. Kenyataan sahaja tidak akan menghentikan bedilan roket dan peluru berpandu.
“Dunia mesti bertindak dengan langkah yang nyata dan berani termasuk menamatkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis Israel sehingga kekejaman dihentikan dan hak Palestin dipulihkan.
“Malaysia berdiri teguh bersama Qatar, Palestin, dan setiap bangsa yang dambakan keadilan serta keamanan. Inilah saatnya untuk kita bukan sahaja bersuara, tetapi bertindak.
“Semoga Allah SWT mengurniakan keberanian untuk kita melawan kezaliman, serta kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dan maruah umat,” katanya Anwar dalam satu hantaran di Facebooknya.
Hantaran itu dimuatnaik selepas Anwar menyampaikan kenyataan negara di Doha, Qatar, pada Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam, malam tadi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha.
Ia bukan sahaja satu pencabulan kedaulatan Qatar, malah satu tindakan rakus dan biadab yang melanggar tatanan undang-undang antarabangsa, serta provokasi berbahaya yang mengancam kestabilan dan keselamatan rantau.
“Qatar, di bawah kepimpinan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, telah memainkan peranan besar sebagai perantara perdamaian.
“Menyerang Doha bererti merobek usaha mulia tersebut, dan ia mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua, seluruh dunia Arab, Islam dan masyarakat antarabangsa yang mendambakan keamanan,” katanya


