
Kerajaan Persekutuan tak rayu keputusan 40 peratus hak Sabah
KERAJAAN Persekutuan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemulangan hak 40 peratus hasil Kerajaan Persekutuan kepada Sabah.
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang telah diadakan hari ini bagi membincangkan isu berkenaan.
“Jabatan Peguam Negara memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip pemberian mhas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil.
“Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama kerajaan negeri Sabah dengan kadar segera,” kata AGC dalam satu kenyataan.
Pada mesyuarat sama, Peguam Negara (AG) telah memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut.
“Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan. Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak tahun 1974.
“Selain itu, alasan penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran. Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut,” kata kenyataan itu lagi.


