Malaysian News

Bendung ‘Coach Cerai’ elak prinsip Islam tercemar, kelirukan masyarakat – Mufti

COACH Cerai atau individu yang didakwa pakar dalam hal ehwal kekeluargaan perlu dibendung kerana boleh mengelirukan umat Islam dan kegusaran awam.

Ini kerana menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil Noor, pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam yang mengelirukan seperti ‘coach cerai’ seharusnya perlu dirujuk serta ditangani oleh pihak autoriti sah.

Jelasnya, Islam menegaskan urusan berkait agama hendaklah dirujuk kepada mereka yang berilmu dan memahami hukum syarak, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 43 yang menyeru supaya masyarakat bertanya kepada golongan berpengetahuan jika tidak mengetahui.

“Dalam Islam, memberi nasihat atau kaunseling merupakan amalan mulia namun kelayakan dalam memberi khidmat itu juga merupakan perkara yang perlu dititikberatkan, khususnya apabila menyentuh isu kritikal seperti perkahwinan serta perceraian melibatkan hukum syarak, hak serta tanggungjawab suami dan isteri.

“Islam juga menegaskan urusan berkait dengan agama hendaklah dirujuk pada mereka yang berilmu serta memahami hukum syarak. Nasihat dalam urusan agama tidak berpaksikan al-Quran, hadis dan pandangan ulama berisiko membawa kepada kekeliruan walaupun disampaikan dengan niat yang baik.

“Oleh itu, kelayakan seseorang memberi nasihat dalam hukum perkahwinan dan perceraian orang Islam bukan hanya diukur melalui pengalaman hidup atau kebolehan bercakap tetapi melalui kefahaman yang sahih terhadap syariat Islam,” katanya dipetik The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Sebelum ini, menerusi hantaran di TikTok, seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai coach cerai mendakwa apa yang dilakukannya diiktiraf di peringkat antarabangsa dan negara luar.

Lelaki itu mendakwa menjalankan tugas untuk memberi bimbingan selepas perceraian termasuk prosesnya berdasarkan keperluan semasa.

Mengulas lanjut, Ahmad Fauwaz memaklumkan, Islam membenarkan nasihat dalam perkara umum seperti komunikasi, pengurusan emosi dan pengalaman hidup selagi tidak bercanggah dengan syariat serta tidak menyentuh hukum agama.

Menurutnya, nasihat yang tidak bersandarkan panduan agama mungkin sekadar meredakan perasaan tetapi berisiko mengabaikan prinsip dan batas syarak.

“Nasihat tidak lagi dibenarkan apabila ia menyimpang daripada garis panduan dan ketetapan syariat seperti menghalalkan perkara yang telah diharamkan termasuk mendorong kepada perceraian tanpa sebab yang dibenarkan menurut syarak. Ia juga tidak dibenarkan apabila nasihat tersebut memperkecilkan kepentingan sifat sabar dan usaha perdamaian (sulh) dalam rumah tangga.

“Selain itu, nasihat mempromosi kebencian institusi perkahwinan atau terhadap lelaki dan wanita secara umum turut tergolong sebagai perbuatan tidak harus, selain menjadi kesalahan mengajak melawan wali atau suami mahupun mengingkari keputusan mahkamah syariah tanpa asas sah kerana tindakan itu boleh membawa kerosakan serta kekeliruan dalam memahami hukum agama,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fauwaz berkata, Islam tidak menafikan perceraian, namun ia diletakkan sebagai jalan terakhir setelah usaha perdamaian dilakukan dengan hikmah dan keadilan, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 128 menekankan keperluan islah apabila berlaku perselisihan antara suami serta isteri.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Islam mendapatkan khidmat runding cara dan kaunseling keluarga melalui saluran yang betul serta diiktiraf, antaranya kaunselor bertauliah, pegawai kaunseling keluarga Islam, pegawai hal ehwal Islam, mahkamah syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

“Mereka bukan sahaja terlatih dari sudut psikologi dan pengurusan emosi, malah memahami batasan hukum syarak serta keutamaan konsep islah sebelum mengambil sebarang keputusan drastik. Pendekatan digunakan juga lebih menyeluruh dan adil tanpa mengabaikan aspek agama, akhlak dan kesejahteraan jangka panjang.

“Sebaliknya, mendapatkan nasihat melalui saluran tidak jelas kelayakan khususnya individu tidak mempunyai asas ilmu agama atau latihan profesional boleh mendatangkan risiko besar. Nasihat bersifat emosional, berat sebelah atau bertentangan dengan syariat berpotensi mendorong pada keputusan tergesa dan menambah keretakan dalam rumahtangga.

“Lebih membimbangkan apabila individu yang sedang tertekan menerima sokongan yang mengesahkan kemarahan atau kekecewaan tanpa bimbingan yang benar dan boleh membawa kepada tindakan yang akhirnya disesali,” katanya.

Katanya, isu ‘coach cerai’ wajar dijadikan pengajaran bahawa memberi nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian memerlukan ilmu, kefahaman serta bimbingan yang tepat agar institusi keluarga terus terpelihara dan kesejahteraan masyarakat dapat dijamin.

“Masyarakat perlu sedar Islam menekankan pendekatan berhemah melalui islah dan rundingan adil sebelum mengambil sebarang tindakan drastik. Justeru, dapatkan nasihat pihak berautoriti seperti kaunselor bertauliah, jabatan agama Islam negeri atau mahkamah syariah bukan sahaja melindungi hak dan tanggungjawab suami isteri, malah memastikan setiap keputusan dibuat dengan hikmah, berpandukan syariat dan memberi manfaat jangka panjang,” katanya.

Back to top button