Madani News

Pengunduran Muhyiddin bukti PN di ambang pembubaran – Puad Zarkashi

PELETAKAN jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai petanda jelas bahawa gabungan itu berada di ambang pembubaran dan tidak lagi relevan dalam landskap politik semasa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, langkah berkenaan membuka ruang terbaik untuk menamatkan kewujudan PN yang disifatkannya sebagai sebuah gabungan gagal.

“Muhyiddin letak jawatan Pengerusi Perikatan Nasional. Maka elok bubar sahaja PN. Ini peluang terbaik untuk tamatkan gabungan yang gagal dan tidak lagi relevan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, Pas juga tidak perlu memikirkan calon baharu untuk mengambil alih kepimpinan PN, sebaliknya wajar mencari jajaran politik baharu yang lebih sesuai dengan realiti semasa.

“Tidak perlulah Pas fikir siapa calon sesuai untuk ambil alih. Lebih baik Pas cari jajaran baru,” katanya.

Beliau turut mengkritik budaya politik dalam PN yang disifatkan sebagai sarat dengan pengkhianatan, termasuk amalan ‘tebuk atap’ dan ‘tikam belakang’, yang menurutnya mencapai kemuncak kegagalan di Perlis.

“Tebuk atap dan tikam belakang seperti di Perlis adalah kemuncak kegagalan PN. Nama pun dah busuk. Sebab itu ‘total loss’ di Sabah,” katanya.

Puad berkata, pengunduran Muhyiddin juga membawa maksud bekas Perdana Menteri itu sedar beliau tidak lagi mendapat kerjasama dan kepercayaan daripada Pas.

“Letak jawatan bermakna Muhyiddin tahu dia tidak akan dapat kerjasama dan kepercayaan daripada Pas. Dia juga tahu Pas akan meninggalkan Bersatu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau membangkitkan persoalan mengenai hala tuju seterusnya Pas selepas ini.

“Tapi siapakah teman jajaran baru Pas?” katanya.

Mohd Puad menegaskan, selagi PN terus dibelenggu konflik dalaman dan gagal membina kepercayaan antara parti komponennya, gabungan itu tidak mempunyai masa depan dalam politik negara.

Back to top button