Madani News

UMNO Pahang bidas DAP untuk lebih beradab

KENYATAAN Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin, berkait Datuk Seri Najib Razak kekal menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, terus mengundang kemarahan pimpinan UMNO termasuk Pahang yang menyuarakan kecaman sekeras-kerasnya tindakan disifatkan biadab itu.

Semalam Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, menolak permohonan semakan kehakiman difailkan bekas Perdana Menteri itu bagi memaksa kerajaan serta enam yang lain melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong, kemudian memuat naik hantaran berbunyi: ‘Another reason to celebrate this year end’ (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) yang dipaparkan bersama pautan berita sebuah portal bertajuk ‘No house arrest for Najib’ (tiada tahanan rumah untuk Najib).

Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan Bee Yin itu bukan tidak wajar, malah mencerminkan ‘keangkuhan politik’ serta ketandusan adab dan sensitiviti sehingga menyentuh perasaan banyak pihak, terutama ahli keluarga Najib serta ahli UMNO.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang, menekankan bahawa keputusan mahkamah tidak seharusnya dijadikan pentas sorakan politik murahan.

“Meraikan keputusan itu dengan ejekan serta sindiran adalah satu perbuatan yang hanya menampakkan ketidakmatangan dan kekeringan nilai seorang wakil rakyat.

“Jika mahu berkawan, berkawanlah dengan adab dan keikhlasan, bukan dengan ejekan kosong yang akhirnya menyebabkan diri yang begitu angkuh itu tenggelam dalam kesombongan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Naib Presiden UMNO itu menegaskan UMNO Pahang akan terus berdiri teguh, tidak goyah dan tidak sesekali berundur dalam memberikan sokongan kepada Najib.

“UMNO Pahang akan meneruskan usaha mencari keadilan buat Datuk Seri (Najib),” katanya.

Back to top button