Malaysian News

160 Ketua UMNO Bahagian mahu Anwar selesai isu Titah Adendum

KIRA-KIRA 160 Ketua UMNO Bahagian yang berkumpul malam ini di ibu negara mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tanggungjawab penuh untuk segera melaksanakan Titah Adendum tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.

Wakil ketua bahagian yang berkumpul malam ini, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata, tiada sebarang alasan lagi untuk kerajaan khususnya Perdana Menteri menafikan hak bekas perdana menteri itu.

“Datuk Seri Najib perlu menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah sebagaimana yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Tiada sebarang alasan lagi untuk melengah-lengahkannya,” katanya yang juga Ketua UMNO bahagian Wangsa Maju.

Mohd Shafie pada sidang media selepas pertemuan itu berkata, 145 dari 160 ketua UMNO bahagian hadir di Hotel Royale Chulan, malam tadi.

Pada pertemuan itu juga, ketua-ketua bahagian setuju bahawa mana-mana bahagian yang  belum bersidang perlu membawa  usul khas mengenai isu Titah Adendum.

“Usul ini penting sebagai bukti kesepakatan dan solidariti parti dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta menegakkan prinsip keadilan untuk semua,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut mendesak Peguam Negara menarik balik permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Januari 2025.

“Sebagai penasihat undang-undang tertinggi kerajaan, Peguam Negara seharusnya menjunjung titah Raja dan mendokong keadilan, bukan menghalangnya,” katanya.

Tegasnya Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah wujud dan mempunyai asas perundangan yang jelas.

Katanya melalui pengakuan Peguam Negara juga membuktikan, bekas peguam negara sebelum ini menyorok titah tambahan itu.

“Fakta ini jelas menunjukkan Peguam Negara dengan sengaja menyorokkan titah tersebut lebih dari setahun, tindakan yang amat mendukacitakan seluruh ahli parti dan rakyat Malaysia yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya.

Tindakan menyorok Titah Adendum kata Mohd Shafie jelas melanggar prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran undang-undang negara

Back to top button