
Putrajaya & Sarawak Sepakat Selesai Isu Petronas-Petros Melalui Rundingan
Putrajaya, 9 Mei 2025 – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak hari ini mencapai kata sepakat penting berhubung isu hubungan antara syarikat minyak negara, PETRONAS, dan syarikat petroleum milik negeri Sarawak, PETROS, selepas satu pertemuan rasmi yang berlangsung di Perdana Putra.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg serta kepimpinan tertinggi kedua-dua syarikat. Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana yang mesra dan harmoni, berlandaskan semangat Persekutuan.
Hasil rundingan menyaksikan kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memuktamadkan prinsip-prinsip asas bagi memperkukuh kerjasama strategik PETRONAS dan PETROS. Langkah ini dilihat sebagai usaha signifikan bagi memastikan potensi besar dalam sektor tenaga dapat dimanfaatkan secara menyeluruh dan mampan.
Antara hasil penting yang dicapai termasuk kesediaan kedua-dua pihak untuk meneroka kerjasama komersial berskala besar melibatkan pembekalan tenaga ke pasaran ASEAN, selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai hab tenaga serantau.
YAB Perdana Menteri dan YAB Premier Sarawak turut menyatakan komitmen bersama untuk menyelesaikan segala isu berbangkit yang sebelum ini menjejaskan hubungan kedua-dua entiti melalui pendekatan rundingan dan persefahaman bersama.
Gambar Ihsan FMT