Malaysian News

Tangani trend ‘PK Battle’, MCMC akan panggil TikTok

BERIKUTAN trend ‘PK Battle’ yang kini menimbulkan kebimbangan ibu bapa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil pengurusan TIkTok untuk mendapatkan penjelasan mengenainya.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan susulan rungutan ibu bapa yang gusar apabila wang diberikan kepada anak mereka dibelanjakan untuk membeli ‘hadiah’ bagi tujuan pertarungan dalam aplikasi berkenaan.

Apatah lagi TikTok adalah platform yang diberikan lesen untuk beroperasi di Malaysia, beliau menegaskan, sepatutnya mempunyai langkah bagi menangani masalah yang timbul.

“Ini (PK Battle) menjadi satu masalah yang dilaporkan oleh media dan kami (Kementerian Komunikasi) pandang secara serius memandangkan TikTok dilesenkan, maka mereka perlu tampil untuk memberi penjelasan dan menyatakan apa langkah yang boleh diambil untuk menyelesaikan masalah ini.

“Oleh sebab itu juga mengapa pihak kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi (sebelum ini) menegaskan anak-anak berusia bawah 13 tahun tidak boleh memiliki akaun TikTok, Instagram dan mana-mana (platform) media sosial yang lain.

“Ia kerana tidak mustahil (anak di bawah umur) mudah untuk mereka mengikuti dan lebih kurang mengikuti trend seperti ‘PK Battle’ tanpa mereka benar-benar memahami kesan kepada diri mereka,” katanya kepada media di Bukit Mertajam, semalam.

Sebelum ini, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 28 Mei lalu bagi menuntut penggunaan ciri PK Battle di aplikasi TikTok diharamkan dalam negara.

Mereka juga mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC supaya segera mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti ‘PK Battle’ yang dilihat sebagai bom jangka sosial negara.

Aktiviti itu dikatakan bukan sahaja membuang masa, malah mendorong kepada perbuatan tidak bermoral seperti buli, peras ugut, eksploitasi seksual, serta pencabulan batas etika secara terbuka di media sosial.

Justeru, Fahmi berkata, satu sesi libat urus perbincangan berhubung isu itu antara MCMC dengan pihak TikTok akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Arahan (lakukan perbincangan) dikeluarkan pagi tadi dan saya jangka mungkin dalam minggu ini, mereka (pihak TikTok) akan datang,” katanya. – HELLO MALAYSIA

Back to top button