
Payung Besar Tun M: Setelah Ribut, Kini Menjual Tempat Berteduh
Konon katanya, Tun M baru-baru ini menyarankan agar satu Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu ditubuhkan dan disatukan di bawah konsep ‘payung besar’. Satu cadangan yang pada zahirnya kelihatan mulia, luhur, dan berjiwa bangsa. Namun, maafkan kami jika ramai di kalangan rakyat – terutamanya yang masih waras dan berjiwa sejarah – mengangkat kening dan tersenyum sinis.
Setelah habis rumah Melayu diruntuhkannya pada 2018 – lantai reput dibuka, dinding dibakar, atap dilucutkan – kini beliau datang dengan sebilah payung usang, mengajak semua berteduh di bawahnya. Hebat sungguh daya lakon dan skrip politik ini. Barangkali, Tun M kini lebih layak dinobatkan sebagai “Seniman Politik Melayu”, mengalahkan P. Ramlee dalam bab dialog penuh sindiran dan ulangan babak lama.
𝐀𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚 “𝐏𝐚𝐲𝐮𝐧𝐠 𝐁𝐞𝐬𝐚𝐫” 𝐝𝐚𝐧 “𝐊𝐞𝐩𝐚𝐥𝐚 𝐀𝐢𝐫”
Kita tidak lupa, pada tahun 2018, demi memuaskan dendam politik dan obsesi terhadap kuasa, Tun M bersungguh-sungguh memecahkan tembok kesepakatan orang Melayu dengan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Dalam masa singkat, beliau berjaya menyelinap masuk ke dalam Pakatan Harapan — yang dulu ditentangnya dengan bersungguh — hanya untuk menjatuhkan sebuah kerajaan Melayu-Islam yang terbina atas kestabilan.
Kini, setelah segala ‘kepala air’ itu meranapkan sawah rakyat, beliau tampil seolah-olah jurucakap perpaduan Melayu yang baru bangun dari tidur panjang. Payung besar? Payung untuk siapa? Untuk berteduh atau untuk melindungi ego yang basah dek kegagalan lalu?
𝐁𝐚𝐧𝐠𝐤𝐢𝐭𝐧𝐲𝐚 “𝐍𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚𝐰𝐚𝐧 𝐁𝐞𝐫𝐦𝐮𝐬𝐢𝐦”
Tun M seolah-olah menghidupkan semula watak lamanya – kali ini bukan sebagai Perdana Menteri, tetapi sebagai “Negarawan Bermusim”. Setiap kali hujan persepsi melanda, atau bila gendang PRU mula dipalu, beliau muncul semula membawa wacana bangsa, survival Melayu, ketuanan dan penyatuan. Seolah-olah, seluruh masa depan bangsa ini terletak dalam poket baju Melayu beliau yang sudah lusuh ditelan musim politik.
𝐀𝐡𝐥𝐢 𝐔𝐌𝐍𝐎: 𝐃𝐮𝐥𝐮 𝐉𝐢𝐣𝐢𝐤, 𝐊𝐢𝐧𝐢 𝐉𝐞𝐦𝐩𝐮𝐭 𝐃𝐮𝐝𝐮𝐤
Ingat lagi ketika Tun M keluar dari UMNO buat kali ke entah berapa? UMNO digelar korup, busuk, tidak bermoral – pendek kata, layak dibakul sampahkan. Kini, selepas berbelas tahun menabur racun persepsi dan memecahkan kesetiaan, beliau datang semula mengetuk pintu – kali ini bukan dengan marah, tapi dengan senyum dan cadangan mesra: “Marilah bersatu di bawah payung saya.”
Seperti si pemilik rumah yang dihalau, ditohmah, disaman dan dikunci pintu – kini dipanggil semula masuk dengan pelawaan: “Eh, rumah ni milik kita bersama sebenarnya…”
𝐃𝐚𝐫𝐢 𝐖𝐢𝐫𝐚 𝐑𝐞𝐟𝐨𝐫𝐦𝐚𝐬𝐢 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐏𝐞𝐧𝐜𝐢𝐧𝐭𝐚 𝐔𝐌𝐍𝐎
Tun M pernah bergandingan mesra dengan musuh politik paling setia UMNO – dari DAP hingga ke PKR – demi menjatuhkan UMNO. Semangat reformasi yang dulu ditertawakan, dijadikan tangga naik semula ke Putrajaya. Tetapi kini, beliau mengaku bahawa hanya UMNO yang masih ada akar yang kuat. Hanya ahli UMNO yang mampu jadi sandaran untuk menyelamatkan bangsa.
𝘿𝙖𝙝 𝙠𝙚𝙣𝙖𝙥𝙖? 𝙆𝙚𝙨𝙚𝙙𝙖𝙧𝙖𝙣 𝙡𝙚𝙬𝙖𝙩 𝙖𝙩𝙖𝙪 𝙘𝙪𝙗𝙖𝙖𝙣 𝙢𝙚𝙡𝙚𝙣𝙩𝙪𝙧 𝙨𝙚𝙢𝙪𝙡𝙖 𝙠𝙖𝙮𝙪 𝙧𝙚𝙥𝙪𝙩 𝙮𝙖𝙣𝙜 𝙥𝙚𝙧𝙣𝙖𝙝 𝙙𝙞𝙗𝙪𝙖𝙣𝙜𝙣𝙮𝙖 𝙠𝙚 𝙙𝙖𝙡𝙖𝙢 𝙖𝙥𝙞?
Namun rakyat – terutama generasi baharu – sudah mula bijak menilai. Retorik kosong dan kitar semula ini bukan lagi menimbulkan kagum, tetapi mencetus geli hati. Kalau dulu beliau menganggap UMNO sebagai parti korup dan lapuk, kini lidah yang sama menyeru penyatuan. Bukankah ini umpama si tukang tebang pokok kini menawarkan naungan dari daun yang masih tinggal?
𝐏𝐞𝐧𝐲𝐚𝐭𝐮𝐚𝐧 𝐒𝐞𝐥𝐞𝐩𝐚𝐬 𝐏𝐞𝐫𝐩𝐞𝐜𝐚𝐡𝐚𝐧?
Ironinya, tangan yang mencetuskan perpecahan kini ingin memandu penyatuan. Kalau benar ikhlas, mengapa tidak dahulu dijaga dan disuburkan semangat perpaduan itu semasa berkuasa? Mengapa dahulu disokong golongan liberal anti-perlembagaan, yang kini menjadi batu api perpecahan Melayu-Islam?
Jika benar mahu lihat orang Melayu bersatu, sepatutnya beliau menyokong mana-mana usaha murni sedia ada – bukan menubuhkan lagi satu entiti baru yang hanya akan menambah rencam dalam lauk penyatuan yang sudah pun tawar.
𝐏𝐚𝐲𝐮𝐧𝐠 𝐀𝐭𝐚𝐮 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐤𝐚𝐩?
Cadangan “payung besar” ini barangkali bukan untuk melindungi bangsa Melayu, tetapi untuk memayungi legasi seorang tokoh yang tidak mahu dilupakan, meski rakyat sudah lama menoleh ke arah lain.
Bagi orang Melayu hari ini, kita tidak perlukan lagi payung dari orang yang membawa ribut. Kita perlukan pembina rumah sebenar – bukan yang hanya datang membawa pelan asal selepas rumah terbakar. Melayu perlu bergerak ke hadapan, bukan kembali berputar dalam bayang-bayang seorang negarawan yang tidak mahu bersara.
𝗗𝗮𝘁𝘂𝗸 𝗗𝗿. 𝗔𝗹𝗲𝘅𝗮𝗻𝗱𝗲𝗿 𝗡𝗼𝗼𝗿
𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗟𝘂𝗺𝗽𝘂𝗿
𝟱 𝗝𝘂𝗻 𝟮𝟬𝟮𝟱